Writing Exercise 2

"Umur Sara dah 27. Balqis tu, anak dua dah. Crush Sara masa sekolah dulu pun dah anak satu. Sara tak teringin nak kahwin ke? Nak mama set blind date tak?" Berdas-das tembakan kata yang dilepaskan oleh ibunya. Tangan hampir naik menutup telinga kalau bukan si ibu, pemegang syurganya yang berbicara.


        "Mama..." Kaisara mengeluh panjang. Tangan naik memicit dahi sendiri yang tiba-tiba berdenyut bila ibunya membangkitkan soal jodoh. Pakej jadi 'matchmaker' lagi. Penat...


        "Apa mama-mama?!"


        "Tak nak lah macam ni. Mama dulu pun kahwin lambat. Sara ikut jejak langkah mama lah. Like mother like daughter gitu."


        Mata Puan Kaseh membulat. Tak sampai sesaat...


        Pap!


        Tangan laju naik menampar lengan anaknya. Suka menjawab!


        Kaisara mengaduh perlahan. Tangan yang tadinya memicit dahi turun mengusap-usap lengan yang ditampar. Pedih dengan smash kencang dari sang mama.


        "Mama tak kira. Anak kawan mama ada yang single lagi. Nanti mama set blind date dengan dia."


        Mata Kaisara membulat. Kepala digeleng-gelengkan berulang kali. Akal mula mencari helah agar perancangan mamanya menemui jalan mati.


        "Sara dah ada boyfriend lah, mama." Tanpa dapat ditahan, sebaris ayat terbit dari bibirnya sebelum bibir itu dia ketap rapat. Bila mulut terlebih laju dari akal yang sibuk berfikir, begini lah jadinya. Hendak menyesal, sudah terlajak kata.


        Mata Puan Kaseh turun mencerun. Tangan mula bercekak pinggang. "Sara jangan tipu mama."


        Kepala Kaisara jatuhkan berkali-kali. Membenarkan pernyataan yang sememangnya tidak benar. Tetapi apa nak buat, hanya itulah satu-satunya cara untuk mendiamkan Puan Kaseh.


        "Betul mama. Sara dah ada someone. Nama dia Hafez." Nama teman sekuliahnya semasa zaman dia belajar dahulu dia petik. Entah apa sudah jadi dengan temannya itu, tak pula dia tahu. Harapnya, jangan munculkan diri depan dia lah. Bimbang mulutnya masin!


        Dahi Puan Kaseh berkerut sedikit. Barangkali diserang kekeliruan sama ada anak tunggalnya ini bercakap benar atau hanya sekadar hendak melepaskan diri.


        "Sara tak tipu, mama. Nama boyfriend Sara, Hafez. Doktor dekat HKL. Sara tak boleh bawa dia jumpa mama, hospital tengah busy sekarang ni."


        Sekali lagi lancar bibir Kaisara membuat helah. Nama Hafez dipetik dari nama teman sekuliah, pekerjaan pula dipetik daripada cita-citanya zaman kanak-kanak dahulu. Sempurna, bukan?


        Pernah dengar sekali menipu, bakal ada penipuan yang keseterusnya? Itulah yang Kaisara sedang lakukan. Tak pernah dalam sejarah hidupnya berkawan dengan doktor. Entah kenapa laju benar mulut mengatakan yang dusta.


        Hati diserang rasa bersalah. Namun, dia tak sanggup bertemu anak kawan mama. Urusan jodoh, biarlah dia sendiri yang mencari dan menentukan.


        "Ma-"


****


"Cik Kaisara…."


        "Cik Kaisara…."


        "Cik Kaisara, do you hear me?" Sayup-sayup suara seseorang menujah telinga, menggantikan suara Puan Kaseh yang baru mula hendak membebel kepadanya. Hati disapa rasa aneh, kemana hilang suara mama?


        Mata terasa berat untuk dibuka, tetapi suara yang menyapa telinga terasa mengganggu rehatnya.


        Perlahan, mata cuba dicelikkan namun tertutup kembali saat satu cahaya terasa tajam menikam iris hingga membuatkan kepalanya berdenyut pedih.


        "Cik Kaisara, do you hear me?" Sekali lagi suara dan soalan itu menyelusup masuk ke koklea. Kali ini, soalan itu diucap sepatah-sepatah dan sedikit kuat. Seolah-olah ingin memastikan telinganya mendengar soalan yang ditanya.


        "Urghhh..." Hanya itu yang mampu dibalas. Tubuh terasa lenguh-lenguh dan lemah. Seperti sudah beberapa hari terbaring kaku tanpa melakukan sebarang aktiviti.


        Buat kali kedua, mata cuba dicelikkan. Mungkin perasankan kepayahan Kaisara bilamana cahaya menerobos ruang iris gadis itu, satu tubuh segera mengatup ruang cahaya. Membenarkan Kaisara membuka mata dengan susah payahnya.


        Mata sedikit terkebil bila gerangan yang langsung dia tidak kenal menyapa. Lengkap memakai jubah doktor dan bertopeng muka. Kening berkerut sedikit.


        "Saya Doktor Hafez. Cik Kaisara tahu cik ada dekat mana?"


        Kaisara bingung sendiri. Ingatannya kabur-kabur bila dia cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku. Tetapi, langsung dia tidak ingat apa-apa.


        Kepala digeleng perlahan namun terhenti bila denyutan terasa di pinggir dahi. Bibir mendesis perlahan. Untuk bercakap, tekaknya terasa perit. Seperti sudah lama tidak dijirus dengan air.


        Eh sekejap, Doktor Hafez?


        "Cik ada dekat hospital. Cik Kaisara kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu oleh pemandu yang mabuk. You were badly injured, but thank god you survived."


        Bicara doktor di hadapannya hanya sekadar masuk ke telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri. Retina mata lebih sibuk memerhati doktor yang memperkenalkan dirinya sebagai Hafez tadi. Entah kenapa, angan-angannya terasa menjadi nyata. Mama, Sara dah jumpa Doktor Hafez, your future son-in-law!


        Hilang terus rasa lenguh-lenguh di tubuh dan denyutan di dahi bila minda tidak memfokuskan kepada sakitnya. Tak padan dengan baru sedar, sudah tergedik sendiri. Otak mula mencemuh namun hati menjerit suka. Tetapi, perasaan itu tercantas saat Hafez melanjutkan bicara.


        "And, I have bad news for you. I'm sorry I need to tell you this when you just woke up from your sleep."


        Wajah pucat Kaisara bertambah pucat. Tiba-tiba saja jantungnya berdetak kencang dan sedikit pedih. Seperti ada suatu berita yang bakal melumpuhkan segala sistem di dalam tubuh. Hati rasa tak tenang.


        Kaisara nampak di bahagian dahi Hafez sedikit berkerut di sebalik topeng muka yang dipakai. Malah, Hafez kelihatan sedikit teragak-agak untuk meneruskan kata.


        "Cik tenang ya..."


        Hafez menarik nafas dalam.


        "We are sorry to inform you yang Puan Kaseh, your mother tak dapat diselamatkan. Beliau meninggal di tempat kejadian."


        Jantung yang berdetak pedih tadi seolah-olah direnggut kasar dari tangkainya. Menyebabkan darah terasa tidak dipam untuk dihantar ke organ-organ yang memerlukan oksigen. Hati terasa kosong, namun pedih. Rasa… kebas.


        Mama…


        Liur yang ditelan terasa tajam menusuk ke celah rengkung.


        Mama cakap mama nak tengok Kaisara kahwin….


        "Puan Kaseh ditemui terperosok ke bawah dashboard kereta. Her ribs were broken and some of her organs ….."


        Penjelasan seterusnya daripada Hafez langsung tak masuk ke telinga Kaisara. Telinganya seolah-olah menjadi tuli selepas mendengar berita itu. Perlahan, birai mata terasa menghangat sebelum setitis mutiara jernih luruh jatuh.

    
        Adakah ini balasannya kerana menipu mama tempoh hari? Adakah ini balasannya untuk ketidakjujurannya terhadap mama? Adakah ini balasan buatnya atas keterlanjuran lidahnya membuat helah pada ibu kandungnya sendiri?


        Tuhan… ini hanya sekadar mimpi, bukan?

Comments

Popular posts from this blog

Writing Exercise 1

Forsythia - Chapter Three

Forsythia -Chapter Two